why
Mengapa BESTWEBSKILL.COM?
 
?

Archive for June, 2011

Projek Kambing

Mejar Bardan, Prof Dr Elias, Anis dan aku selaku "penyelaras" projek kambing

Mej. Bardan, Prof Dr Elias, Pn Anis dan aku selaku "penyelaras" projek kambing

Hujung minggu yang baru lalu meninggalkan kenangan manis bersama peserta bengkel aku yang ceria2 belaka.

Prof. Dr. Elias dari UPM (Sekolah aku tu…), Mejar Bardan (TLDM Lumut) dan Pn Anisrumiza dari Perlis. Kami bertungkus lumus 2 hari menyiapkan projek dummy Membekalkan Kambing Akikah dan Korban.

Memang best tajuk pilihan kami ni sebab sebelum ni banyak yang pilih projek jual tudung, jual kropok, jual kamera, jual laptop dan ada yang jual e-book. Kali ini kami jual kambing!!

Suasana belajar penuh santai dan ceria. Apatah lagi Prof Fizik dari UPM ni memang amat ceria wataknya. Mejar dan Anis tak kering gusi dibuatnya. Aku juga ikut ketawa tak kering gusi….. mana taknya….Semasa sampai ke section nak masukkan video, aku suruhlah mereka cari video masing2 di You Tube. Video tentang kambing.

Entah macam mana pada browser carian di You Tube, Prof sudah ter TYPE masuk perkataan “Goat Breeding”… Apa lagi melantun-lantun lah video yang keluar tu. Semuanya gambar2 “blue”….kambing sedang buat PROJEK!!!!!! kah kah … kah…..kaaaaaaaah kah kah…… kah kah kah…. he he …hik hik hik….

Censored!

“Rupanya belajar bina website tidaklah semudah disangka…..tapi sekarang dah dapat gambaran jelas apa yang orang lain dah buat sebelum ini” Ujar Prof Elias. Mejar Bardan senyum saja… Pn Anis tak berenti2 catit nota….:))

Walaupun letih dengan karenah kambing2 yang nakal, kami dapat siapkan website masing2 dengan jayanya. Lalu masing2 take 5 sambil dengar muzik nostalgia. Kereta Lembu nyanyian asal Helen Velu. Jom kita dengar sama2.

YouTube Preview Image

 

Share on Facebook

Share

Be the first to comment - What do you think?  Posted by mhdyusof - June 20, 2011 at 7:52 pm

Categories: Kisah Bengkel   Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

Ayah Disengat Keli Jepun.

inilah rupanya mata tiruk atau serampang mata satu yang jadi alat menangkap ikan di sungai suatu ketika dulu...

Entah kenapa ayahku nampak lain macam benar pagi tu.  Sebaik selesai Subuh, dia tak terus mengadap sarapan tetapi terus ke bawah rumah menarik keluar tiruk mata satu yg tersimpan baik sekian lama tak disentuh. Dia kelihatan mengelap dari ujung hulu hingga ke hujung mata tiruk.

Nak dibuat apa pulak dengan tiruk tua berkarat tu…??? Ibu bertanya bersahaja. Ayah tersenyum. Terus mengusap2 mata tiruk yang dah tinggal terbiar sejak setahun yang lalu. Tiap2 tahun ada pakatan satu kampung ramai2 turun ke sungai “mengharu ” ikan. Kali terakhir tahun lepas. tahun ini belum tiba musimnya. Biasanya selepas menuai.

ikan mabuk bila air mula jadi keruh, apa lagi, peluang utk kita NGAP! la

Sekarang padi baru bunting. Air sungai pun masih dalam. Haruan , Keli, Sepat Benua, Selat, Lidah Kucing, Lampam Jawa, Haruan Bujuk sedang bebas berpesta tanpa gangguan. Mungkin tengah berkembang biak semahu2nya. Tunggu lepas menuai, air sungai surut. Semuanya akan terperangkap dalam lubuk yang dikelilingi akar2 rumbia.

Di situlah satu2nya tempat persembunyian ikan2 yang sudah tidak ada jalan keluar lagi, hanya menunggu gerombolan orang2 kampong bertemasya sehari “pesta mengharu ikan”. Ayahku memang masyhur dengan kehebatannya menewaskan banyak bapak dan ibu haruan. Ada yang sebesar batang pinang. Tiruk pusaka itulah yang telah banyak menerobos perut ibu haruan sehingga terkeluar isi perut dan terburai sarung telur sebesar lengan.

Kadang kena tepat ditengah badan, kadang kena di kepala tembus ke otak, kadang kena kat ujung ekor, tembus juga tapi sang haruan gagah meggelupur, putus terkoyak isi dan terlepas begitu saja.  Ayah boleh agak berapa besarnya bapak haruan yang terlepas itu. Pasti cacatlah seumur hidup.

tangkul angkat. kalau keli melekat tak ada harapan lepas.kalau haruan mungkin ada chance lepas sebab haruan kuat lompatannya...

Namun selalunya penderitaan itu tidak lama. Tak lama lepas tu dia akan terperangkap pula kalau tidak dalam serkap, sangkut di jala , terlepas jala masuk tangkul. Akhirnya ke dalam periuk tanah jua.

Apa nak buat ayah tak tahu mata tiruknya akan singgah. Dia hanya melibas tikaman secara rambang saja. ikut nasib saja. kalau kena haruan , haruanlah. kalau kena Keli, kelilah. kalau kena labi2., kira kes nayalah, sebab ayah tak kan naikkan labi2. Walaupun ada Siam yang sanggup beli harga mahal. Ayah tak akan jual. Sebab binatang tu tak boleh dimakan. Haram. Ayah memang tak suka terlibat dengan kerja2 shubahah begitu. Ayah warak orangnya.

Tapi sekarang padi baru tengah bunting….kenapa ayah bersiap sedia begitu awal?  Peliklah pula orang tua ni, buang tebiat ke?… bisik hati ibu. Kopi dah siap ni! Ibu panggil ayah minum.

Kejap aku nak minyakkan sikit mata tiruk ni dulu. Aku teringin nak makan gulai keli pekat dengan keledek merah. Dah lama nak merasa isi keli. Itu pun kalau ada rezki…..Ayah menyimpan harapan.

Tapi air sungai masih banyak…mana ada keli menyelinap dicelah akar sagu? Ibu heran. Alah..tak apalah biar aku cuba, mana tahu ada rezki. Rezki ditangan Tuhan.. Ayah meyakinkan dirinya.

Ayah teguk kopi pantas2. Ibu sendukkan nasi dan letak sekeping telur goreng kat atasnya sebelum bungkuskan dalam daun pisang. Ibu ikat dengan tali pisang juga. Buat bekal ayah yang benar2 berhajat meniruk keli pagi tu. Ibu akhirnya izinkan ayah pergi bersaorangan. Ibu hanya doakan ayah berhasil.

serkap jarang

serkap jarang ni jangan main2... kalau kena haruan sebesar lengan pun, fuh! dia punya tawaf memang thrilling giler!!

Ayah capai kain basahan, Nasi bekal dibalut kemas sebelum kain di ikat kemas kepinggang. Ayah capai tiruk yang tersandar kedinding buluh dan bergegas ke sungai yang jaraknya sepelaung dari rumah. Kalau lewat nanti keli keluar sarang dan merayau jauh ketengah sungai, bertambah tipis harapan.

Sampai disungai, ayah membuka ikatan pinggang dan menggantung nasi bekalnya di pelepah rumbia. Kumat kamit mulutnya membaca sesuatu sebelum mencecahkan kakinya ke air. Ayah sudah berada dalam sungai. Sejuk airnya bukan main menggigit2 kulit sampai ke ulu hati. Memang betul kata ibu, air sungai masih banyak. Dalamnya paras dada.

Dengan bismillah ayah mula meniruk. Agak sukar untuk ayah menghayunkan lengan dalam keadaan air separas dada. Ayah hayun juga. Sasarannya keli yang lambat bangun yang mungkin masih tidor dicelah2 akar rumbia. Dia nekad mahu makan keli gulai pekat dengan ubi ketela merah. Tiga ketul ketela merah sedang siap menunggu pasangannya . Ada terletak atas pelantar rumah tadi. Mak Long Timah yang beri petang kelmarin sewaktu balek dari kebun. Itu yang buatkan ayah datang ilham pelik hari ini.

pokok rumbia

pokok rumbia yang daunnya boleh dianyam buat atap rumah... sojuk sodap yo dudok kek bawoh hei...

Selang tak lama menghayun lengan meniruk sasaran rambang dicelah2 akar rumbia, srush..! srush!…srush!… tiba2…………gruk! gruk!gruk!gruk! gruk!…diam sekejap dan….gruk! gruk! gruk! gruk! gruk!  batang tiruk bergegar kencang.  Ayah tenang melekapkan telinganya ke bahagian batang tiruk yang berada diatas permukaan air. Jelas terdengar bunyi rengekan….kreat! kreat! kreat! kreat! kreat!…kok kak kok kak kok kak!. Bunyi seperti sengat keli sedang bergesel dengan besi mata tiruk.

Ayah pasti itu memang keli! Paling tidak pun sebesar lengan. Gegaran pada batang tiruk sudah cukup menggambarkan saiz mangsa yang sedang melekat pada mata tiruk dalam air sana dicelah2 akar rumbia. Memang itu bunyi rengekan keli.

Ayah menarik nafas dalam2. Ayah menyelam dan mula meraba2 mengikut arah ke hujung mata tiruk. Akhirnya jari ayah mula menyentuh badan mangsa yang melekat kemas. Dengan segala pengalaman yang ada ayah akhirnya berjaya mengenakan cengkaman tepat ke batang leher Keli Jepun sebesar lengan sambil menjulangnya ke atas dalam kedudukannya masih melekat ke mata tiruk yang menembusi tepat dibawah perutnya yang boroi. Hampir terburai. Nampak sepasang kantung telur warna kelabu. Betina rupanya.

Ayah terus mengharung air paras dada menuju ke tebing. Keli Jepun masih dicengkaman. Mata tiruk belum dicabut. Ayah berjaya naik ke atas selepas bersusah payah bergelut dengan tebing yang licin. Walau agak jauh dari gigi air, ayah masih tidak melepaskan cengkaman dileher keli, malahan ayah memperkemaskan cengkamannya. Tidak boleh kasi peluang ia meronta. Keli Jepun musim padi bunting ni agak garang dan berbahaya. Ayah cukup berhati2.

Ayah pun mula menarik mata tiruk perlahan2 keluar dari badan keli. Keli Jepun yang nampak lemah kerana cedera parah kelihatan tenang sehingga ayah berjaya menarik keluar keseluruhan mata tiruk tadi.  Kini keli dalam genggaman ayah. Ayah buka sumpit. Ayah masukkan ekornya dahulu. Muat2 saja dengan mulut sumpit yang sempit. Sekadar lolos penumbuk saja.

keli jepun

keli ni tak la berbisa sangat. tapi kalau kena sengat keli Jepun yang liar memang silap2 haribulan boleh jalan wei....

Ayah mula melonggarkan cengkaman pada leher keli dengan niat untuk melepaskannya masuk kedalam sumpit mengkuang berbentuk “botol” itu. Pada ketika inilah keli yang kelihatan hampir mati tadi dengan tak semena2 menggelupur dengan sekuat2 hatinya sehingga tercampak  dari genggaman ayah. Terus termasuk ke dalam sumpit. Keli Jepun yang tadinya ganas tiba2 diam kaku. Seperti sudah selesai tugasnya. Seperti seorang pahlawan yang baru menang peperangan lagaknya.

Memang benarlah….keli Jepun menang hari itu dan hari geruh buat ayah…….. Ayah sempat cacakkan mata tiruk ke perdu rumbia. Ayah sudah tidak ingat nasi bekalnya lagi. Ayah terus bergegas pulang . Sebelah tangan ayah menggenggam kemas batang jari telunjuknya yang berlubang kesan tusukan sengat keli Jepun yang terkenal berbisa. Darah menitis di sepanjang perjalanan…… Langkah ayah semakin longlai, namun digagahi juga berjalan sambil mengerang kesakitan. Sampai di rumah bibir ayah sudah biru……

 

Share on Facebook

Share

1 comment - What do you think?  Posted by mhdyusof - June 8, 2011 at 2:05 am

Categories: Kenanganku   Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

Punyalah Besar!!!! Puyu Gergasi Ke Ni Mak???

timba upeh pinang

Semalam hujan lebat membawa ke tengah malam. Pagi itu tak sekolah tapi aku bangun awal dari biasa . Sejuk menggigil. Sejuk pagi aku memang tak tahan. Aku masih berselimut kain suntong. Kain pelikat lasam membalut tubuhku yang kurus melidi. Aku capai tempurung berisi arang tumbok. Terus ke perigi.

Aku campakkan timba upeh bertali rotan ke dalam perigi. Aku cebuk air penuh satu timba upeh. Aku kumur2 sedikit. Aku basahkan jari telunjukku. Aku letak perut jari telunjukku atas serbuk arang dalam tempurung. Aku tonyoh2 gigiku dengan arang tadi. Rasa masin2 sikit pun ada sebab ibuku letakkan sedikit garam kasar. Aku tonyoh2 gigi depan sekali dua saja, lepastu terus kumur2 dan…dah sudah….

Kain pelikat lasam aku londeh dan sangkut kat mulut perigi. Aku tak ubah macam toyol… Niat nak mandi, tapi tersentuh jer air perigi yang sejuk macam ais tu…. gigiku berlaga2. Aku sekadar cuci tahi mata dan basahkan rambut sedikit saja. tak jadi mandi pagi tu. Kain pelikat lasam aku sarungkan kembali dan terbongkok2 menyelinap naik ke atas rumah.

Ibu lagi awal bangun menyiapkan lempeng pisang dan rebus ubi kayu.Ubi kayu aku cabut petang semalam dekat tepi acar belakang rumah. Berlambak ada. Subur batangnya, besar2 ubinya. Aku bersila panggung depan hidangan lempeng pisang dan rebus ubikayu. Cicah kelapa parut campur gula dan sedikit garam. Kena dengan kopi O pekat lega sikit rasa sejuk pagi tu.

Ibu ikut sekali ke? Aku inginkan kepastian. Aku rasa cukup teruja bila ibu diam seakan setuju untuk ikut serta pagi tu. Fuh! kalau ibu ikut sekali mesti best giler punya… Sepanjang aku keluar memancing dengan ibu, belum pernah menghampakan.

Puyu Gergasi yg aku dapat dulu mungkin 5 kali lebih besar dari puyu kemetot ni....

Paling tidak lima enam ekor puyu mesti menggelupur dalam sumpit  mengkuang. Kadang2 keli sebesar lengan pun tersangkut. Kadang2 keli Jepun yang tengkoknya pendek dan banyak isi itu pun tersangkut kat mata pancing ibu. Kadang2 ibu haruan yang garang mengawal anak2 pun kecundang dengan kail ibu.

Itu yang buat aku jadi seronok sangat kalau ibu jadi ikut. Memang sentuhan ibu sentuhan keramat. Tangan ibu memang tangan bertuah. Ibu seolah2 boleh baca dimana sudut petak yang ada haruan.

Dalam lopak mana ada keli besar. Kat celah pokok padi yang macam mana ada puyu besar. Selalu ibu ajak ke baruh. kat sana ada satu lubuk tempat Selat , Lampam, Lidah Kucing dan keli Jepun bersarang. Setiap kali akau ke sana bersama ibu, sumpit selalunya padat. Tak habis makan sampai boleh dibuat ikan kering.

Aku seronok sangat kalau dapat pergi bersama ibu. Cukup seronok sekali….Seronok dan puas melihat ibu menyentap naik keli kuning sebesar lengan terkodek2. Kekadang terlepas cakuk kail bial keli meronta terlalu garang dan jatuh atas daun2 pokok atap kering. Sok sek sok sek sok sek bunyinya.

Apa lagi. aku pun meluru dan menangkap batang leher keli yang berbisa tu dengan penuh bergaya. Mesti pantas dan tangkas sebelum keli sempat sampai ke gigi air. Kalau aku rasa tak sempat nak tangkap hidup2, aku belasah dengan batang bemban jer… menggelupur dia terus Innalillah… nanti balek terus masuk periuk tanah. Asam pedaslah jawabnya…

Ini anak2 keli manja makan bersuap....bukan keli Jepun asli. Leher pendek banyak isi kurang lemak. Masak asam pedas dengan buah setoi...Fuyooo....No 1

Banyak kekatu yang kau dapat petang semalam? Ibu bertanya tanda setuju lah tu…. walhal dia tahu petang semalam aku dapat tangkap banyak kekatu yang “naik” macam “asap” . Meremut2 keluar dari lubang kat tepi pongsu sebelah pokok ketapang belakang rumah. Aku libas dengan kain sampai banyak yang jatuh terjelepuk kat celah2 rumput. Aku kutip cepat2. Banyak juga aku dapat . Dekat nak penuh tin Milo kecik. Kiranya 3 hari pancing tak boleh habis tu.

Kekatu memang jadi kegemaran puyu, keli dan kekadang haruan pun sangkut. Lemak dan enak. Sama dengan anak tebuan, tapi anak tebuan susah nak dapat. Kalau terjumpa sarang yang dah sebesar bakul bolehlah dibakar pakai jamong. Banyaklah anak2 tebuan kuning meremut2 dalam sarang. Tapi nak kena Tok Su Hj Wahab juga yang uruskan bab tebuan ni. Dia memang pakar bab tu.

kelekatu terbang petang...

“Adalah dekat penoh tin milo tu mak… saya dah balut tin tu dengan kain buruk dan ikat getah”  Aku tahu kalau ditutup rapat tentu kekatu akan mati dan umpan yang mati kurang “power”.

“Hmm.. cepatlah siap kalau gitu” kata ibu sambil dia sendiri dah sedia dengan kain batik terletak atas kepala siap berlipat ke belakang kepala. Kain batek pelbagai guna tu memang tak pernah lekang dari atas kepala ibu setiap kali keluar ke bendang. Jadi penutup kepala waktu terik. Buat libas unggas waktu senja. Boleh dibuat pelapik tempat duduk semasa memancing.

Buat pelapek kepala untuk menjunjung pulang rezeki jika ada terjumpa labu atau kundur dikebun. Boleh juga dibuat sauk anak2 haruan yang merah2 tu kalau ternampak buih2 halus di tengah petak. Boleh juga dibuat kain basahan mandi.

Aku capai kail batang kumbar yang tersandar kat pokok betik tepi dapur . Aku capai  sumpit dan terus berjalan mengekori ibu… kali ini kami menghala ke tengah bendang. Padi tengah bunting. Sesetengahnya dah mula mengeluarkan bunga. Bunga2 padi yang jatuh ke dalam petak jadi makanan puyu. Musim padi berbunga memang gemuk2 puyu dan kelinya.

Pernah sekali umpanku dipagut, aku cuba sentak, tak naik bila aku cuba hayunkan ke atas permatang. Aku seret perlahan2 ke tepi batas  bendang. Aku sangkakan haruan, rupanya puyu. Sebesar tapak tangan….patutlah aku cuba hayun ke atas tak naik….

Ibu semakin pantas menghayun langkah. Aku juga. Apakah tuah ibu akan menyusul hari ini… Aku yakin begitulah hendaknya. Aku begitu yakin sebab aku tahu aku punya seorang ibu yang memiliki tuah. Tuah ibu sentiasa hadir dalam diri ibu tak pernah kunjung padam.

Aku bangga dapat tumpang tuah ibuku. Kerana tuah ibuku lah aku berjaya layari kehidupan hingga ke tahap ini….Aku rasa sangat bertuah…..

Aku akan sambung nostalgia ini dalam post akan datang…..

Al-Fatihah buat ibuku…..

Share on Facebook

Share

Be the first to comment - What do you think?  Posted by mhdyusof - June 4, 2011 at 6:52 pm

Categories: Kenanganku   Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

Share this Article
Share on FacebookThis is the home page.Bestwebskill Training Services – PG (002060530-U)0
Share
StatPressVisits today: 82
Who's Online

1 visitors online now
0 guests, 1 bots, 0 members
Map of Visitors
Powered by Visitor Maps