why
Mengapa BESTWEBSKILL.COM?
 
?

Ayah Disengat Keli Jepun.

inilah rupanya mata tiruk atau serampang mata satu yang jadi alat menangkap ikan di sungai suatu ketika dulu...

Entah kenapa ayahku nampak lain macam benar pagi tu.  Sebaik selesai Subuh, dia tak terus mengadap sarapan tetapi terus ke bawah rumah menarik keluar tiruk mata satu yg tersimpan baik sekian lama tak disentuh. Dia kelihatan mengelap dari ujung hulu hingga ke hujung mata tiruk.

Nak dibuat apa pulak dengan tiruk tua berkarat tu…??? Ibu bertanya bersahaja. Ayah tersenyum. Terus mengusap2 mata tiruk yang dah tinggal terbiar sejak setahun yang lalu. Tiap2 tahun ada pakatan satu kampung ramai2 turun ke sungai “mengharu ” ikan. Kali terakhir tahun lepas. tahun ini belum tiba musimnya. Biasanya selepas menuai.

ikan mabuk bila air mula jadi keruh, apa lagi, peluang utk kita NGAP! la

Sekarang padi baru bunting. Air sungai pun masih dalam. Haruan , Keli, Sepat Benua, Selat, Lidah Kucing, Lampam Jawa, Haruan Bujuk sedang bebas berpesta tanpa gangguan. Mungkin tengah berkembang biak semahu2nya. Tunggu lepas menuai, air sungai surut. Semuanya akan terperangkap dalam lubuk yang dikelilingi akar2 rumbia.

Di situlah satu2nya tempat persembunyian ikan2 yang sudah tidak ada jalan keluar lagi, hanya menunggu gerombolan orang2 kampong bertemasya sehari “pesta mengharu ikan”. Ayahku memang masyhur dengan kehebatannya menewaskan banyak bapak dan ibu haruan. Ada yang sebesar batang pinang. Tiruk pusaka itulah yang telah banyak menerobos perut ibu haruan sehingga terkeluar isi perut dan terburai sarung telur sebesar lengan.

Kadang kena tepat ditengah badan, kadang kena di kepala tembus ke otak, kadang kena kat ujung ekor, tembus juga tapi sang haruan gagah meggelupur, putus terkoyak isi dan terlepas begitu saja.  Ayah boleh agak berapa besarnya bapak haruan yang terlepas itu. Pasti cacatlah seumur hidup.

tangkul angkat. kalau keli melekat tak ada harapan lepas.kalau haruan mungkin ada chance lepas sebab haruan kuat lompatannya...

Namun selalunya penderitaan itu tidak lama. Tak lama lepas tu dia akan terperangkap pula kalau tidak dalam serkap, sangkut di jala , terlepas jala masuk tangkul. Akhirnya ke dalam periuk tanah jua.

Apa nak buat ayah tak tahu mata tiruknya akan singgah. Dia hanya melibas tikaman secara rambang saja. ikut nasib saja. kalau kena haruan , haruanlah. kalau kena Keli, kelilah. kalau kena labi2., kira kes nayalah, sebab ayah tak kan naikkan labi2. Walaupun ada Siam yang sanggup beli harga mahal. Ayah tak akan jual. Sebab binatang tu tak boleh dimakan. Haram. Ayah memang tak suka terlibat dengan kerja2 shubahah begitu. Ayah warak orangnya.

Tapi sekarang padi baru tengah bunting….kenapa ayah bersiap sedia begitu awal?  Peliklah pula orang tua ni, buang tebiat ke?… bisik hati ibu. Kopi dah siap ni! Ibu panggil ayah minum.

Kejap aku nak minyakkan sikit mata tiruk ni dulu. Aku teringin nak makan gulai keli pekat dengan keledek merah. Dah lama nak merasa isi keli. Itu pun kalau ada rezki…..Ayah menyimpan harapan.

Tapi air sungai masih banyak…mana ada keli menyelinap dicelah akar sagu? Ibu heran. Alah..tak apalah biar aku cuba, mana tahu ada rezki. Rezki ditangan Tuhan.. Ayah meyakinkan dirinya.

Ayah teguk kopi pantas2. Ibu sendukkan nasi dan letak sekeping telur goreng kat atasnya sebelum bungkuskan dalam daun pisang. Ibu ikat dengan tali pisang juga. Buat bekal ayah yang benar2 berhajat meniruk keli pagi tu. Ibu akhirnya izinkan ayah pergi bersaorangan. Ibu hanya doakan ayah berhasil.

serkap jarang

serkap jarang ni jangan main2... kalau kena haruan sebesar lengan pun, fuh! dia punya tawaf memang thrilling giler!!

Ayah capai kain basahan, Nasi bekal dibalut kemas sebelum kain di ikat kemas kepinggang. Ayah capai tiruk yang tersandar kedinding buluh dan bergegas ke sungai yang jaraknya sepelaung dari rumah. Kalau lewat nanti keli keluar sarang dan merayau jauh ketengah sungai, bertambah tipis harapan.

Sampai disungai, ayah membuka ikatan pinggang dan menggantung nasi bekalnya di pelepah rumbia. Kumat kamit mulutnya membaca sesuatu sebelum mencecahkan kakinya ke air. Ayah sudah berada dalam sungai. Sejuk airnya bukan main menggigit2 kulit sampai ke ulu hati. Memang betul kata ibu, air sungai masih banyak. Dalamnya paras dada.

Dengan bismillah ayah mula meniruk. Agak sukar untuk ayah menghayunkan lengan dalam keadaan air separas dada. Ayah hayun juga. Sasarannya keli yang lambat bangun yang mungkin masih tidor dicelah2 akar rumbia. Dia nekad mahu makan keli gulai pekat dengan ubi ketela merah. Tiga ketul ketela merah sedang siap menunggu pasangannya . Ada terletak atas pelantar rumah tadi. Mak Long Timah yang beri petang kelmarin sewaktu balek dari kebun. Itu yang buatkan ayah datang ilham pelik hari ini.

pokok rumbia

pokok rumbia yang daunnya boleh dianyam buat atap rumah... sojuk sodap yo dudok kek bawoh hei...

Selang tak lama menghayun lengan meniruk sasaran rambang dicelah2 akar rumbia, srush..! srush!…srush!… tiba2…………gruk! gruk!gruk!gruk! gruk!…diam sekejap dan….gruk! gruk! gruk! gruk! gruk!  batang tiruk bergegar kencang.  Ayah tenang melekapkan telinganya ke bahagian batang tiruk yang berada diatas permukaan air. Jelas terdengar bunyi rengekan….kreat! kreat! kreat! kreat! kreat!…kok kak kok kak kok kak!. Bunyi seperti sengat keli sedang bergesel dengan besi mata tiruk.

Ayah pasti itu memang keli! Paling tidak pun sebesar lengan. Gegaran pada batang tiruk sudah cukup menggambarkan saiz mangsa yang sedang melekat pada mata tiruk dalam air sana dicelah2 akar rumbia. Memang itu bunyi rengekan keli.

Ayah menarik nafas dalam2. Ayah menyelam dan mula meraba2 mengikut arah ke hujung mata tiruk. Akhirnya jari ayah mula menyentuh badan mangsa yang melekat kemas. Dengan segala pengalaman yang ada ayah akhirnya berjaya mengenakan cengkaman tepat ke batang leher Keli Jepun sebesar lengan sambil menjulangnya ke atas dalam kedudukannya masih melekat ke mata tiruk yang menembusi tepat dibawah perutnya yang boroi. Hampir terburai. Nampak sepasang kantung telur warna kelabu. Betina rupanya.

Ayah terus mengharung air paras dada menuju ke tebing. Keli Jepun masih dicengkaman. Mata tiruk belum dicabut. Ayah berjaya naik ke atas selepas bersusah payah bergelut dengan tebing yang licin. Walau agak jauh dari gigi air, ayah masih tidak melepaskan cengkaman dileher keli, malahan ayah memperkemaskan cengkamannya. Tidak boleh kasi peluang ia meronta. Keli Jepun musim padi bunting ni agak garang dan berbahaya. Ayah cukup berhati2.

Ayah pun mula menarik mata tiruk perlahan2 keluar dari badan keli. Keli Jepun yang nampak lemah kerana cedera parah kelihatan tenang sehingga ayah berjaya menarik keluar keseluruhan mata tiruk tadi.  Kini keli dalam genggaman ayah. Ayah buka sumpit. Ayah masukkan ekornya dahulu. Muat2 saja dengan mulut sumpit yang sempit. Sekadar lolos penumbuk saja.

keli jepun

keli ni tak la berbisa sangat. tapi kalau kena sengat keli Jepun yang liar memang silap2 haribulan boleh jalan wei....

Ayah mula melonggarkan cengkaman pada leher keli dengan niat untuk melepaskannya masuk kedalam sumpit mengkuang berbentuk “botol” itu. Pada ketika inilah keli yang kelihatan hampir mati tadi dengan tak semena2 menggelupur dengan sekuat2 hatinya sehingga tercampak  dari genggaman ayah. Terus termasuk ke dalam sumpit. Keli Jepun yang tadinya ganas tiba2 diam kaku. Seperti sudah selesai tugasnya. Seperti seorang pahlawan yang baru menang peperangan lagaknya.

Memang benarlah….keli Jepun menang hari itu dan hari geruh buat ayah…….. Ayah sempat cacakkan mata tiruk ke perdu rumbia. Ayah sudah tidak ingat nasi bekalnya lagi. Ayah terus bergegas pulang . Sebelah tangan ayah menggenggam kemas batang jari telunjuknya yang berlubang kesan tusukan sengat keli Jepun yang terkenal berbisa. Darah menitis di sepanjang perjalanan…… Langkah ayah semakin longlai, namun digagahi juga berjalan sambil mengerang kesakitan. Sampai di rumah bibir ayah sudah biru……

 

Share on Facebook

Share