why
Mengapa BESTWEBSKILL.COM?
 
?

Punyalah Besar!!!! Puyu Gergasi Ke Ni Mak???

timba upeh pinang

Semalam hujan lebat membawa ke tengah malam. Pagi itu tak sekolah tapi aku bangun awal dari biasa . Sejuk menggigil. Sejuk pagi aku memang tak tahan. Aku masih berselimut kain suntong. Kain pelikat lasam membalut tubuhku yang kurus melidi. Aku capai tempurung berisi arang tumbok. Terus ke perigi.

Aku campakkan timba upeh bertali rotan ke dalam perigi. Aku cebuk air penuh satu timba upeh. Aku kumur2 sedikit. Aku basahkan jari telunjukku. Aku letak perut jari telunjukku atas serbuk arang dalam tempurung. Aku tonyoh2 gigiku dengan arang tadi. Rasa masin2 sikit pun ada sebab ibuku letakkan sedikit garam kasar. Aku tonyoh2 gigi depan sekali dua saja, lepastu terus kumur2 dan…dah sudah….

Kain pelikat lasam aku londeh dan sangkut kat mulut perigi. Aku tak ubah macam toyol… Niat nak mandi, tapi tersentuh jer air perigi yang sejuk macam ais tu…. gigiku berlaga2. Aku sekadar cuci tahi mata dan basahkan rambut sedikit saja. tak jadi mandi pagi tu. Kain pelikat lasam aku sarungkan kembali dan terbongkok2 menyelinap naik ke atas rumah.

Ibu lagi awal bangun menyiapkan lempeng pisang dan rebus ubi kayu.Ubi kayu aku cabut petang semalam dekat tepi acar belakang rumah. Berlambak ada. Subur batangnya, besar2 ubinya. Aku bersila panggung depan hidangan lempeng pisang dan rebus ubikayu. Cicah kelapa parut campur gula dan sedikit garam. Kena dengan kopi O pekat lega sikit rasa sejuk pagi tu.

Ibu ikut sekali ke? Aku inginkan kepastian. Aku rasa cukup teruja bila ibu diam seakan setuju untuk ikut serta pagi tu. Fuh! kalau ibu ikut sekali mesti best giler punya… Sepanjang aku keluar memancing dengan ibu, belum pernah menghampakan.

Puyu Gergasi yg aku dapat dulu mungkin 5 kali lebih besar dari puyu kemetot ni....

Paling tidak lima enam ekor puyu mesti menggelupur dalam sumpit  mengkuang. Kadang2 keli sebesar lengan pun tersangkut. Kadang2 keli Jepun yang tengkoknya pendek dan banyak isi itu pun tersangkut kat mata pancing ibu. Kadang2 ibu haruan yang garang mengawal anak2 pun kecundang dengan kail ibu.

Itu yang buat aku jadi seronok sangat kalau ibu jadi ikut. Memang sentuhan ibu sentuhan keramat. Tangan ibu memang tangan bertuah. Ibu seolah2 boleh baca dimana sudut petak yang ada haruan.

Dalam lopak mana ada keli besar. Kat celah pokok padi yang macam mana ada puyu besar. Selalu ibu ajak ke baruh. kat sana ada satu lubuk tempat Selat , Lampam, Lidah Kucing dan keli Jepun bersarang. Setiap kali akau ke sana bersama ibu, sumpit selalunya padat. Tak habis makan sampai boleh dibuat ikan kering.

Aku seronok sangat kalau dapat pergi bersama ibu. Cukup seronok sekali….Seronok dan puas melihat ibu menyentap naik keli kuning sebesar lengan terkodek2. Kekadang terlepas cakuk kail bial keli meronta terlalu garang dan jatuh atas daun2 pokok atap kering. Sok sek sok sek sok sek bunyinya.

Apa lagi. aku pun meluru dan menangkap batang leher keli yang berbisa tu dengan penuh bergaya. Mesti pantas dan tangkas sebelum keli sempat sampai ke gigi air. Kalau aku rasa tak sempat nak tangkap hidup2, aku belasah dengan batang bemban jer… menggelupur dia terus Innalillah… nanti balek terus masuk periuk tanah. Asam pedaslah jawabnya…

Ini anak2 keli manja makan bersuap....bukan keli Jepun asli. Leher pendek banyak isi kurang lemak. Masak asam pedas dengan buah setoi...Fuyooo....No 1

Banyak kekatu yang kau dapat petang semalam? Ibu bertanya tanda setuju lah tu…. walhal dia tahu petang semalam aku dapat tangkap banyak kekatu yang “naik” macam “asap” . Meremut2 keluar dari lubang kat tepi pongsu sebelah pokok ketapang belakang rumah. Aku libas dengan kain sampai banyak yang jatuh terjelepuk kat celah2 rumput. Aku kutip cepat2. Banyak juga aku dapat . Dekat nak penuh tin Milo kecik. Kiranya 3 hari pancing tak boleh habis tu.

Kekatu memang jadi kegemaran puyu, keli dan kekadang haruan pun sangkut. Lemak dan enak. Sama dengan anak tebuan, tapi anak tebuan susah nak dapat. Kalau terjumpa sarang yang dah sebesar bakul bolehlah dibakar pakai jamong. Banyaklah anak2 tebuan kuning meremut2 dalam sarang. Tapi nak kena Tok Su Hj Wahab juga yang uruskan bab tebuan ni. Dia memang pakar bab tu.

kelekatu terbang petang...

“Adalah dekat penoh tin milo tu mak… saya dah balut tin tu dengan kain buruk dan ikat getah”  Aku tahu kalau ditutup rapat tentu kekatu akan mati dan umpan yang mati kurang “power”.

“Hmm.. cepatlah siap kalau gitu” kata ibu sambil dia sendiri dah sedia dengan kain batik terletak atas kepala siap berlipat ke belakang kepala. Kain batek pelbagai guna tu memang tak pernah lekang dari atas kepala ibu setiap kali keluar ke bendang. Jadi penutup kepala waktu terik. Buat libas unggas waktu senja. Boleh dibuat pelapik tempat duduk semasa memancing.

Buat pelapek kepala untuk menjunjung pulang rezeki jika ada terjumpa labu atau kundur dikebun. Boleh juga dibuat sauk anak2 haruan yang merah2 tu kalau ternampak buih2 halus di tengah petak. Boleh juga dibuat kain basahan mandi.

Aku capai kail batang kumbar yang tersandar kat pokok betik tepi dapur . Aku capai  sumpit dan terus berjalan mengekori ibu… kali ini kami menghala ke tengah bendang. Padi tengah bunting. Sesetengahnya dah mula mengeluarkan bunga. Bunga2 padi yang jatuh ke dalam petak jadi makanan puyu. Musim padi berbunga memang gemuk2 puyu dan kelinya.

Pernah sekali umpanku dipagut, aku cuba sentak, tak naik bila aku cuba hayunkan ke atas permatang. Aku seret perlahan2 ke tepi batas  bendang. Aku sangkakan haruan, rupanya puyu. Sebesar tapak tangan….patutlah aku cuba hayun ke atas tak naik….

Ibu semakin pantas menghayun langkah. Aku juga. Apakah tuah ibu akan menyusul hari ini… Aku yakin begitulah hendaknya. Aku begitu yakin sebab aku tahu aku punya seorang ibu yang memiliki tuah. Tuah ibu sentiasa hadir dalam diri ibu tak pernah kunjung padam.

Aku bangga dapat tumpang tuah ibuku. Kerana tuah ibuku lah aku berjaya layari kehidupan hingga ke tahap ini….Aku rasa sangat bertuah…..

Aku akan sambung nostalgia ini dalam post akan datang…..

Al-Fatihah buat ibuku…..

Share on Facebook

Share